27 JUN : Filem yang mengupas kisah keberanian dan keperwiraan pahlawan Melayu, Mat Kilau meraih kutipan jualan tiket sebayak RM11 juta hanya selepas empat hari ditayangkan di pawagam di seluruh negara.
Berita pencapaian filem itu dikongsi syarikat pemilik rangkaian pawagam GSC Cinemas di akaun media sosial.
“Kebangkitan filem tempatan! Filem Mat Kilau sudah cecah RM11 juta setakat 9 malam hari ini (Ahad),” menurut hantaran tersebut.
Sehubungan itu, pengarahnya, Syamsul Yusof yang ditemui media menyifatkan angka itu sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Melihat kepada senario untuk filem Mat Kilau, kebanyakan ulasan daripada masyarakat yang belum dan sudah menonton mereka memberikan komen dan maklum balas yang sangat positif.
“Saya sangat bersyukur sebagai penulis filem ini juga kerana mereka menerima baik naskhah epik yang mengangkat tokoh Melayu kita iaitu Allahyarham Mat Kilau.
“Jadi ini satu usaha bersama bukan saja saya sebagai pengarah, pelakon, pasukan dan penerbit, tapi juga disokong kuat oleh penonton Malaysia sendiri. Jadi kita sama-sama harus berbangga dengan kejayaan ini dengan kutipan pada saya luar biasa.
“Jadi kalau mengikut komen dan buah mulut orang, insya-Allah kutipan filem ini akan terus bertambah,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, filem Mat Kilau merekodkan kutipan sebanyak RM7 juta hanya dalam masa tiga hari tayangan sejak Khamis lalu.
Malah pada hari pertama tayangan juga, filem epik itu juga mencecah kutipan RM1 juta.
Filem hasil sentuhan Syamsul Yusof yang juga pengarah KL Gangster sebelum ini dibarisi beberapa bintang pelakon terdiri daripada Adi Putra, Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri dan Wan Hanafi Su. – ASTRO AWANI