28 JUN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 hingga 2025.
Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatan kuasa yang dipersetujui oleh kerajaan negeri itu akan menjadi sinergi bersama Kerajaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri turut bersetuju melaksanakan tujuh inisiatif dalam meningkatkan sekuriti makanan antaranya meningkatkan keluasan tanah yang sesuai, khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.
“Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan dan menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan, bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.
“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan dan terakhir menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai industri agromakanan dan perincian lanjut akan diberikan oleh Kementerian Kewangan.
Sementara itu, katanya, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.
“Penubuhan jawatankuasa ini bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.
“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.
“Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.