Dagangan Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini
28 JUN : Dagangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada petang urus niaga Selasa, dipacu oleh minat belian membabitkan kebanyakan saham wajaran tinggi selain ia juga seiring dengan sentimen pasaran yang bertambah baik di seluruh rantau ini, kata seorang penganalisis.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.15 peratus atau 16.62 mata kepada 1,454.74 daripada penutupan urus niaga Isnin 1,438.12.
Indeks penanda aras utama itu yang dibuka 0.86 mata lebih kukuh pada 1,438.98 pagi ini, berlegar antara 1,431.35 dan 1,455.46 di sepanjang sesi dagangan.
Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 470 berbalas 410, manakala 420 kaunter tidak berubah, 1,042 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.28 bilion unit bernilai RM1.61 bilion daripada 2.65 bilion unit bernilai RM1.43 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di peringkat serantau, indeks-indeks utama ditutup kebanyakannya lebih tinggi apabila dana asing kembali ke rantau ini di tengah-tengah kebimbangan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Di pasaran tempatan pula, beliau menambah indeks penanda aras ditutup lebih tinggi, didorong oleh aktiviti memburu saham berharga murah yang berterusan selepas penjualan besar-besaran sejak dua hingga tiga minggu yang lepas.
“Namun begitu, kami tetap mengambil sikap berhati-hati berhati-hati memandangkan risiko pasaran yang kian meningkat dan tidak menentu, justeru, kegiatan pengambilan untung dijangka muncul.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran antara 1,430-1,460 untuk baki minggu ini dengan sokongan serta-merta pada 1,430 manakala rintangan pada 1,490,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa – PPB melonjak RM1.10 kepada RM16.10, Press Metal meningkat 17 sen kepada RM4.86 dan Sime Darby Plantation mengukuh 13 sen menjadi RM4.43.
Sementara itu, Maybank naik enam sen kepada RM8.64, Public Bank menambah dua sen menjadi RM4.46, Petronas Chemicals peroleh lima sen kepada RM9.25, IHH tidak berubah pada RM6.48 dan CIMB untung lapan sen kepada RM5.00.
Bagi saham aktif pula, Sapura Energy dan Yong Tai, masing-masing naik setengah sen kepada lima sen dan sembilan sen, Green Packet turun setengah sen kepada enam sen, DNex menokok dua sen kepada 81.5 sen dan Hibiscus Petroleum lebih tinggi sebanyak lapan sen kepada RM1.03.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 89.52 mata kepada 10,375.85, FBM 70 menambah 9.71 mata menjadi 12,534.26, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 100.20 mata menjadi 10,555.74 dan Indeks FBMT100 melambung 90.10 mata kepada 10,111.13.
Bagaimanapun, FBM ACE susut 36.79 mata kepada 4,794.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 98.73 mata kepada 16,113.86, Indeks Perladangan 119.31 mata lebih kukuh kepada 7,042.17 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.68 mata kepada 184.56.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.54 bilion saham bernilai RM1.14 bilion daripada 1.64 bilion saham bernilai RM1.19 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran pula berkurangan kepada 442.16 juta unit bernilai RM103.18 juta berbanding 592.57 juta unit bernilai RM108.71 semalam.
Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE turun menjadi 297.45 juta saham bernilai RM96.16 juta berbanding 414.60 juta saham bernilai RM141.01 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 161.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (385.02 juta), pembinaan (21.53 juta), teknologi (225.15 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (51.61 juta), hartanah (160.43 juta), perladangan (34.35 juta), REIT (6.36 juta), dana tertutup (25,600), tenaga (298.35 juta), penjagaan kesihatan (59.10 juta), telekomunikasi dan media (107.54 juta), pengangkutan dan logistik (18.23 juta) dan utiliti (15.43 juta). – BERNAMA