29 JUN: Kerajaan Persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Sabah untuk membuat sebarang tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan jalan dan ruang untuk kerajaan negeri bagi sebarang tuntutan spesifik.
“Buat masa ini, kita fokus kepada isu (berkenaan MA63) kewangan, konsesus, sempadan wilayah dan sebagainya tetapi akhirnya ia terpulang kepada kerajaan negeri untuk membawanya secara lebih terperinci.
“Terdapat banyak data (mengenai perkara dan tuntutan MA63) tetapi ia bergantung kepada kerajaan negeri sejauh mana mahu menggunakan serta memanfaatkannya,” katanya di Kinabalu.
Mengulas mengenai perkembangan rombongannya bagi meneliti dokumen sejarah yang boleh mengesahkan semula kesahihan tuntutan MA63 di Arkib Negara di London pada 19 Jun lalu, beliau berkata, ia membuahkan hasil.
“Kita juga mempunyai sesi perbincangan di sana. Malah, ada beberapa orang pemimpin Sarawak juga berada di sana. Kita tidak perlu duduk dan membuat analisa apa yang perlu diambil atau digunakan oleh kerajaan Sabah untuk membuat apa-apa tuntutan yang berkenaan.
Tambahnya, rombongan tersebut terbabit dalam beberapasesi perbincangan yang turut diikuti beberapa orang pemimpin Sarawak.