3 JULAI: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana diragui ketulenannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.
“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.
“Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, hanya Lembaga Tabung Haji dan pengendali agensi umrah dan haji yang dibenarkan membawa pulang air zamzam sebelum jemaah mengambilnya selepas pulang ke negara ini.
“Jemaah yang menggunakan penerbangan komersial, balik dari Jeddah tidak boleh membawa air zamzam.
“Bagi yang melalui Tabung Haji, kami dah sediakan perkhidmatan membawa air zamzam ke Malaysia melalui penerbangan kargo,” katanya.