3 JULAI: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memansuhkan semua pekeliling dan prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau berkaitan COVID-19 berkuat kuasa Jumaat lalu.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata, semua jemaah yang hadir dalam aktiviti pengimarahan di dalam bangunan masjid dan surau masih dikehendaki memakai pelitup muka.
“Individu positif COVID-19 dan sedang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) dilarang menyertai aktiviti pengimarahan termasuk sambutan Aidiladha dan ibadah korban.
“Individu yang bergejala juga dilarang untuk menyertai sebarang aktiviti di masjid atau surau selain diingatkan juga mengelak 3C iaitu kawasan sesak, sempit dan sembang dekat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, antara saranan lain adalah elakkan bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk serta bersin selain jalani ujian COVID-19 jika bergejala.
Sementara itu, Sukri berkata, semua masjid dan surau di Melaka juga dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban sehingga sebelum berakhirnya solat Asar pada 13 Zulhijjah.
“Ibadah korban dibenarkan selepas selesai solat sunat Aidiladha dan hari tasyrik iaitu 11 dan 12 Zulhijjah.
“Masjid, surau dan mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah korban hendaklah mematuhi peraturan serta ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.