6 JULAI: Menteri Kanak-Kanak dan Keluarga United Kingdom (UK), Will Quince, hari ini meletak jawatan selepas secara terbuka mempertahankan Perdana Menteri, Boris Johnson berhubung skandal membabitkan pelantikan Christopher Pincher sebagai timbalan ketua whip.
“Dengan rasa sedih dan kecewa, saya mengemukakan peletakan jawatan kepada Perdana Menteri selepas saya menerima dan mengulangi jaminan kepada media yang kini didapati tidak tepat,” katanya menerusi hantaran di Twitter seperti dilaporkan Sputnik.
Pada minggu lalu, Pincher meletak jawatan selepas dituduh melakukan salah laku seksual di salah satu kelab persendirian di London.
Terdapat sebilangan ahli politik mendakwa Johnson melantik Pincher bagi jawatan timbalan ketua whip, meskipun tahu mengenai siasatan sebelum ini.
Susulan skandal itu, puluhan pegawai tertinggi kerajaan UK sudah menyerahkan surat peletakan jawatan, termasuk Peguam Cara Negara England dan Wales, Alex Chalk; Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid dan Canselor, Rishi Sunak. – BERNAMA