9 JULAI: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menjalankan siasatan awal berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam yang berlaku di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI.
“Siasatan awal telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ajib berkata, bahawa JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam yang berlaku di Wilayah Persekutuan khususnya menjelang ketibaan Aidiladha yang mulia.
Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.