13 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan buku berkisar tentang pengalamannya sebagai Menteri Kanan Pertahanan ketika negara berdepan ancaman wabak COVID-19, bertajuk Ismail Sabri Yaakob: Teraju Keselamatan Depani Ancaman Covid-19 hari ini.
Buku tersebut memuatkan pengalaman beliau termasuk sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan, ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diberi tanggungjawab menerajui usaha memerangi ancaman COVID-19 ketika di zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menurut Ismail Sabri, pengalamannya dalam peperangan menentang COVID-19 merupakan satu tanggungjawab yang besar dan mencabar.
“Berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat mesti diselamatkan.
“Diharap dengan secebis pengalaman yang diabadikan dalam buku ini dapat menjadi rujukan buat generasi akan datang,” katanya di dalam prakata buku tersebut.
Buku itu ditulis dan disunting oleh Datuk Ruhaidini Abd Kadir yang juga merupakan Pengarah Media dan Komunikasi Strategik bagi Perdana Menteri.
Buku setebal 110 muka surat itu diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan dan mengandungi lima bab, buku berkonsepkan ‘coffee table book’ dilancarkan di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sementara itu, menerusi Facebook miliknya, Ismail Sabri berkata, beliau telah melancarkan program Felo Perdana dan Felo Korporat di Putrajaya tengahari tadi.
Menurut beliau, program ini memberi peluang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman bekerja bersama-sama ahli jemaah menteri dan ketua pegawai eksekutif syarikat korporat.
“Saya turut menerima empat Felo Perdana yang akan bertugas di pejabat saya di Putrajaya. Mereka akan diberi pendedahan tentang pentadbiran kerajaan dan program-program bersama rakyat yang saya hadiri.
“Semoga pengalaman dan ilmu yang dititipkan, sama ada di pejabat atau di lapangan, akan memberi pengalaman dan pembelajaran yang berharga kepada mereka dalam meneruskan perjalanan karier nanti.
“Tahniah kepada semua pemimpin muda Felo Perdana dan Felo Korporat 2022,” ujarnya.