24 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, sebagai Pengerusi Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) selama tiga tahun mulai 1 Julai 2020.
Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah juga berkenaan melantik tiga individu lain sebagai Anggota EAIC untuk tempoh dan mulai tarikh sama.
Mereka ialah Tan Sri Zainun Ali selaku Timbalan Pengerusi EAIC dan dua individu lain termasuk Datuk John Louis O’hara dan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
“Pelantikan ini akan memperkukuhkan pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang berintegriti dan efektif dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.
“Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada barisan Pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Datuk A. Aziz A. Rahim, Datuk Sabariah Hassan, Prof. Madya Dr. Abang Ekhsan Abang Othman, Lee Sow Siong, Leong May Chan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Pelantikan empat anggota baharu EAIC berkenaan dibuat mengikut subseksyen 5 (1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).