15 JULAI – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos ini dijangka mampu menarik 100,000 pengunjung sehari.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pelbagai acara dirancang bagi menarik kehadiran orang ramai ke acara itu setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“MAHA 2022 merupakan ekspo yang mempamerkan pencapaian terkini dalam sektor industri agromakanan negara dan dunia. Acara kali ini dibuat secara fizikal dan secara dalam talian dengan kita menjangkakan penglibatan lebih daripada 100,000 pengunjung sehari.
“Pelbagai acara seperti pameran, perniagaan dan pemadanan perniagaan akan diadakan. Jadi saya harap Keluarga Malaysia mengambil peluang untuk berkunjung ke MAHA 2022,” katanya pada sidang media selepas program ‘Flag Off MRT Train MAHA 2022’ di sini hari ini.
Ronald berkata pihaknya telah membentuk pelbagai jawatankuasa bagi memastikan penganjuran MAHA 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor itu berjalan dengan terperinci dan teratur.
Katanya 1,500 ruang pameran dan jualan juga disediakan melibatkan beberapa segmen yang meliputi jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat serta penjual makanan popular.
“Berbanding empat tahun lepas, sudah tentu ada pencapaian baharu dan MAHA 2022 merupakan platform untuk mempamerkan pencapaian terkini dalam sektor pertanian negara dan dunia.
“Jadi ini merupakan peluang untuk melihat pencapaian dalam sektor berkenaan. Semua pemain industri yang berminat dalam sektor pertanian akan dapat melihat pencapaian yang akan dipamerkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ronald menjelaskan kerajaan sentiasa berusaha secara berterusan bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan.
“Bekalan makanan bukan tidak berhadapan dengan pelbagai masalah. Kita berdepan dengan masalah banjir, kemarau, cuaca, penyakit dan sebagainya.
“Jadi setiap masalah ini perlu ditangani untuk memastikan kelangsungan makanan. Kerajaan akan sentiasa memastikan masalah akan dapat diminimakan,” katanya.- BERNAMA