15 JULAI: Kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan itu dianggotai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan Terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, BHEUU dan Kementerian Luar Negeri akan bertindak selaku urus setia pasukan khas ini.
“Kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” katanya.
Sebelum ini negara dikejutkan dengan laporan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan cuba dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.