15 JULAI : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum memberi keputusan terhadap permohonan pindaan Perlembagaan UMNO, menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, beliau positif RoS akan meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti itu, yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas pada 15 Mei lepas.
“Saya kira adalah hak mereka untuk ambil sedikit masa lagi. Sukacita ingin dinyatakan bahawa segala prosedur telah diikuti dan saya menanti dengan fikiran positif bahawa kelulusan akan diperolehi,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.
RoS dalam kenyataan ringkas kepada Bernama pada 7 Julai lepas memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya esok (16 Julai).
UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.- BERNAMA