18 JULAI: Seorang pengarah syarikat direman empat hari sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dibenarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Sumber memaklumkan, pengarah syarikat berusia 41 tahun itu sebelum ini ditahan di ibu negara bersama seorang wanita yang juga ketua pegawai eksekutif berusia 40 tahun, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Bagaimanapun, wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya diambil.
Penahanan dua individu itu menjadikan 42 orang berusia antara 28 hingga 70 tahun sudah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana PenjanaKerjaya.
Mereka ditahan di beberapa negeri merangkumi Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Program PenjanaKerjaya adalah antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja mendepani cabaran COVID-19 sejak awal 2020.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.