21 JULAI : Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Naib Presiden PKR, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kembali menyandang jawatan setiausaha agung parti itu.
Perkara itu diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang dikongsi bersama media menerusi WhatsApp parti itu selepas mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025 malam tadi.
Dua lagi Naib Presiden yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Awang Sahari dan Saraswathy Kandasamy, sementara Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan; Ahli Parlimen Selayang William Leong (Bendahari) dan Zahir Hassan (Ketua Setiausaha Pengelola).
Selain itu, lima ahli MPP yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail, Manivanan Gowin; Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit.
Pada Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan secara rasmi Anwar kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, sementara Mohd Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu mengalahkan Saifuddin Nasution.-BERNAMA