23 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif menjadi mangsa sindiket Macau Scam apabila gambarnya digunakan di media sosial untuk menipu mangsa.
Beliau berkata, perkara itu disedari selepas dimaklumkan pegawai Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar mengenai gambarnya digunakan sebagai gambar profil di aplikasi Telegram milik sindiket tersebut.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawainya malam tadi di Balai Polis Daerah Pekan berhubung perkara itu.
“Saya menyedari perkara ini selepas diberitahu oleh pegawai saya di mana scammer meminta wang melalui aplikasi Telegram menggunakan gambar profil saya dan wang tersebut perlu dimasukkan ke akaun Maybank bernama ‘Sunati binti Nasry’.
“Mereka dipercayai menggunakan gambar saya bagi meyakinkan lagi mangsa ketika melakukan aktiviti penipuan mereka,” katanya di Facebooknya hari ini.
Mohammad Fakhruddin yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang berharap tindakan segera dapat diambil bagi membendung perkara itu.
“Saya juga memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam gambar saya dan menyekat nombor telefon yang digunakan sindiket ini.
“Saya juga meminta orang awam untuk berhati-hati sekiranya menerima pesanan Telegram atau WhatsApp daripada sindiket yang menggunakan gambar saya.
“Kalau boleh jangan laan pesanan itu, sebaliknya membuat laporan polis dan aduan kepada SKMM melalui https://aduan.skmm.gov.my,” katanya lagi.