25 JULAI : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membetulkan fakta berkait sekeping gambar Gunung Inas di Baling yang dikongsi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melalui akaun Facebook.
Namun beliau sempat bergurau dengan memanggil Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adinda dan tulisannya itu mendapat reaksi pengikut-pengikutnya.
“Adinda Nurul… foto yang menumbuhkan kesedihan lalu Dinda kongsikan di laman Facebook itu foto lama, Gunung Inas Baling pada tahun 2019.
“Kenapa baru sekarang Dinda bersedih? Tidakkah pada tahun 2019 Dinda juga punya perasaan?,” tulisnya, pagi ini.
Semalam, Nurul Izzah berkongsi sekeping gambar Gunung Inas yang gondol di akaun Facebooknya.
“Hancur alam sekitar kerana tamak haloba . Akibatnya, kini kita sengsara! Sedih, nampak keadaan di Baling,” tulisnya yang melawat kawasan Baling semalam yang terjejas banjir.
Muhammad Sanusi turut berkongsi paparan skrin berita disiarkan sebelum ini yang menggunakan gambar yang sama dimuatnaik Nurul Izzah bertarikh 17 Januari 2019 bertajuk: Kerana Musang King, empangan tergadai.
Pada Disember 2018, Nurul Izzah dipanggil adinda oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melalui sepucuk surat terbuka dan beliau membahasakan dirinya sebagai kekanda.
Panggilan adinda-kekanda itu menjadi usikan netizen termasuk beberapa pimpinan politik.
Ketika itu Mujahid menukilkan Warkah Dari Cordova Untuk Nurul Izzah’ yang dimuat naik di halaman Facebook menyatakan pandangannya terhadap kemelut dalaman PKR. – Oleh NUR EISYA