29 JULAI : Presiden China, Xi Jinping memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden supaya tidak ‘bermain api’ dalam isu Taiwan menerusi panggilan telefon yang didakwa Rumah Putih bertujuan menstabilkan hubungan dua kuasa besar itu.
Menerusi satu kenyataan media, panggilan itu berlangsung selama dua jam 17 minit.
Agensi Xinhua berkata, Jinping bertegas mengenai dasar AS terhadap Taiwan, sebuah pulau demokratik yang mempunyai hubungan rapat dengan AS namun China menganggap ia sebahagian daripada wilayahnya.
“Mereka yang bermain api akhirnya akan terbakar. Saya harap pihak AS memahami sepenuhnya perkara itu,” kata Jinping kepada Biden, mengulangi kenyataan mereka ketika bercakap November lalu.
Ketegangan di sekitar Taiwan semakin meningkat di tengah-tengah kebimbangan bahawa Jinping boleh mengarahkan pencerobohan.
Dalam perkembangan baharu, pihak berkuasa China berang dengan rancangan yang tidak disahkan oleh sekutu Biden dan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Nancy Pelosi, untuk melawat pulau itu.
Walaupun pegawai AS kerap melawat Taiwan, Beijing menganggap perjalanan Pelosi sebagai provokasi besar disebabkan beliau berada di barisan kedua selepas jawatan presiden AS dan memandangkan kedudukannya mungkin melakukan perjalanan dengan pengangkutan tentera.
China kelmarin memberi amaran Washington akan ‘menanggung akibatnya’ jika perjalanan itu diteruskan.
Dalam panggilan itu, Jinping memberitahu Biden bahawa ‘kedudukan kerajaan dan rakyat China dalam isu Taiwan adalah konsisten’.
“Adalah kehendak lebih 1.4 bilion rakyat China untuk menjaga dengan tegas kedaulatan negara dan integriti wilayah China,” katanya.
Sebagai tindak balas, Biden meyakinkan Jinping bahawa dasar AS, yang dikenali sebagai ‘strategic ambiguity’ tidak berubah – pada asasnya memihak kepada status quo di Taiwan, dengan Washington mengiktiraf kedaulatan China tetapi menentang sebarang penguatkuasaan dan membenarkan Taiwan mengekalkan peraturan mereka yang tersendiri.
“Mengenai Taiwan, Presiden Biden menekankan bahawa dasar AS tidak berubah dan AS menentang keras usaha unilateral untuk mengubah status quo atau menjejaskan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan. – AFP