29 JULAI : Harga emas mencatatkan penurunan bulan keempat berturut-turut, ditekan oleh prestasi kukuh dolar dan pulangan bon Amerika Syarikat (AS) di samping dasar monetari agresif yang diambil oleh bank-bank pusat utama.
Emas masih berkadar secara songsang dengan dolar dan pulangan bon, berbanding kekuatan logam berharga itu sendiri, kata penganalisis kanan OANDA, Jeffrey Halley.
Beliau menambah, penurunan dolar dan pulangan bon AS bagaimanapun memberikan sedikit sokongan kepada emas minggu ini.
Logam itu dijangka mencatatkan prestasi terbaik sejak pertengahan Mei lalu, dengan harga meningkat 1.9 peratus setakat ini.
Namun, emas berkemungkinan tidak dapat menangani trend terburuk penurunan bulannya sejak November 2020.
Dolar AS berada pada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun hampir sepanjang bulan ini, sehingga menjejaskan permintaan bagi emas dalam harga mata wang negara maju itu berbanding pemegang mata wang lain.
Rizab Persekutuan (Fed), pada Rabu lalu menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata peratusan dalam usahanya membendung lonjakan inflasi.
Penanda aras 10 tahun AS, pulangan Perbendaharaan mengukuh selepas mencecah paras terendah dalam tiga bulan, pada Khamis.
Kadar faedah dan pulangan bon lebih tinggi meningkatkan lagi kos peluang untuk memegang emas yang tidak menanggung faedah.
Ekonomi AS menguncup di luar jangkaan pada suku kedua 2022, sekali gus meningkatkan risiko kelembapan ekonomi, yang menambah daya tarikan emas sebagai aset selamat dan membantu kenaikan harga emas lebih daripada satu peratus pada Khamis.
Harga spot perak mengukuh 0.3 peratus kepada AS$20.04 seauns, manakala platinum jatuh 0.2 peratus kepada AS$886.24.
Kedua-dua harga komoditi itu mencatatkan penurunan bulanan.
Sementara itu, harga Palladium meningkat 0.8 peratus kepada AS$2,095.13, dan meningkat kira-kira 8.2 peratus bulan ini, prestasi terbaik sejak Januari lalu.-Reuters