30 JULAI : Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan diadakan di Melaka yang dipilih sebagai tuan rumah bagi kedua-dua acara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pelbagai program diatur dan bakal diadakan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ di mana menurut Perdana Menteri, ia amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Teguh Bersama merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.
“Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita mensejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global.
“Saya yakin, apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan Keluarga Malaysia.
“Ia akan disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putrajaya hari ini.
Beliau turut mengajak seluruh Keluarga Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.
“Bulan Kebangsaan adalah istimewa semua akan menyaksikan penyertaan seluruh Keluarga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di pelbagai tempat termasuk kawasan perumahan, kediaman, pejabat dan sekolah.
“Saya gembira melihat suasana sebegini kerana ia akan menaikkan semangat patriotisme dalam diri kita untuk meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kebebasan yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957,” ujarnya.
Ini merupakan kali pertama sambutan Hari Kebangsaan bakal dianjurkan dengan lebih meriah selepas pandemik COVID-19.
Tahun lalu sambutan Hari Kebangsaan diadakan secara sederhana di Dataran Pahlawan Negara, di sini, manakala pada 2020 hanya perutusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disiarkan secara langsung.