30 JULAI : Pahlawan terbilang, Mat Kilau, yang berjuang menentang penjajah Inggeris di Pahang dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri, hari ini.
Pengiktirafan itu diberikan kepada Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd Salam, sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada cucu pahlawan itu, Mohd Alhamadi Abu Bakar, yang turut menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.
Alhamadi, 56, yang juga seorang pendidik melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan itu kepada arwah datuknya dan berharap ia terus meningkatkan semangat juang keluarga serta orang ramai untuk mengembangkan syiar Islam.
“Perjuangan Mat Kilau adalah atas dasar agama…perjuangan menentang Inggeris bersama ayahnya, Tok Gajah dan Datuk Bahaman adalah disebabkan kuasa penjajah yang hendak masuk ke Pahang dan memperkenalkan sistem pemerintahan Inggeris.
“Maka disebabkan itu, Mat Kilau dan rakan-rakannya bangkit bangun melawan demi menegakkan Islam di Pahang,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis sambutan bertemakan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ itu.
Mat Kilau dijaga ibu dan bapa Alhamadi selama kira-kira 30 tahun sebelum meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 ketika berusia 104 tahun. Sewaktu itu, Alhamadi berusia sekitar lima tahun.
Alhamadi berkata, datuknya yang mesra dipanggil ‘Aki Kilau’ juga menjadikan zikir dan bacaan surah Al-Ikhlas sebagai amalan setiap hari yang kini diwarisi ahli keluarga serta ahli seni silat tapak suci warisan Mat Kilau.
Menyifatkan dirinya ‘hanya wakil penerima anugerah itu’, Alhamadi berkata wang terbabit akan digunakan sebaiknya bagi menambah baik galeri Mat Kilau yang diusahakannya sendiri sejak 2016 dan persatuan seni silat terbabit.
Berdasarkan kenyataan jawatankuasa induk dan pelaksana sambutan, Mat Kilau adalah anak jati Kampung Kedondong, Pulau Tawar di Jerantut berpengetahuan luas dalam agama dan pernah belajar agama daripada tokoh agama dan ulama tersohor.
Antaranya termasuk Mufti Pahang pertama Uthman Senik; ulama Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu semasa beliau bersembunyi di negeri itu.
Mat Kilau juga pandai mengaji al-Quran, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana yang turut dikenali sebagai Dikir Pahang serta handal dalam ilmu persilatan. – BERNAMA