3 OGOS : Kementerian Kewangan yakin Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang melancarkan inisiatif TERAS 5 hari ini dapat mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak RM200 bilion menjelang 2025.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata KWAP turut menyasarkan peningkatan jumlah aset harta kepada lebih 30 daripada 17 serta mempunyai lebih 35 subsidiari dalam tempoh yang sama.
“KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai RM41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi KWAP di sini, hari ini.
TERAS 5 merupakan sebahagian daripada pelan dasar jangka panjang bagi menambah saiz dana dengan lebih berkesan dan kekal mampan.
Tengku Zafrul berkata sebagai pemain dan pelabur utama, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500,000 Keluarga Malaysia.