3 OGOS : Perikatan Nasional (PN) akan menghantar wakil untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan soal berkaitan terma-terma penting antara Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, beliau akan bertemu Ismail Sabri Yaakob esok bagi membincangkan perjanjian dan terma tersebut.
“InsyaAllah saya akan bertemu dengan perdana menteri esok hari,” katanya.
Hamzah yang juga setiausaha agung PN berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penerbangan Anti-Pemerdagangan Orang.
Pada 28 Jul, PN menyatakan kekecewaan mereka terhadap Ismail Sabri kerana dilihat tidak bersungguh memenuhi “terma penting” itu, yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini didedahkan bahawa Ismail Sabri telah menandatangani perjanjian dengan PN sebelum Naib Presiden UMNO itu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada Ogos 2021.
Pada 2 Jul, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah bertemu dengan Ismail untuk membincangkan pelantikan politik, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dipersetujui sebelum ini apabila gabungan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Ismail Sabri.
Beliau juga berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.