4 OGOS : Keputusan pembatalan pembinaan kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas, hari ini disambut baik oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menerusi catatan ringkas di Facebook miliknya, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang memudah cara, mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan mengambil kira bantahan dikemukakan penduduk setempat dan pimpinan tempatan terhadap cadangan projek ini.
“Syukur Alhamdulillah. Penduduk di kawasan Bertam, Kepala Batas boleh berasa lega berikutan keputusan pemaju projek Taman Teknologi Pulau Pinang untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan CLQ di kawasan ini setelah mengambil kira pandangan penduduk setempat, pimpinan tempatan serta jabatan teknikal terbabit.
“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju kerana mendengar pandangan, juga bantahan pimpinan tempatan dan penduduk setempat terhadap cadangan projek Kuarters Pekerja Berpusat itu.
“Pihak saya akan terus memantau dengan teliti cadangan pembangunan dalam kawasan Parlimen yang saya wakili bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduknya sentiasa terjamin, selamat dan Kepala Batas kekal menjadi kawasan menarik dan berdaya-huni,” katanya.
Media hari ini melaporkan pemaju pembinaan CLQ di Bertam Perindustrian Pulau Pinang akhirnya membatalkan hasrat meneruskan projek berkenaan selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk sekitar.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dipetik berkata, keputusan itu dibuat pemaju, Lestari Duta selepas meneliti pandangan daripada pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan teknikal berkaitan.
Penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam sebelum ini membantah cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari, di Bertam berikutan bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.
Projek pembangunan itu didakwa dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang dan mempunyai dua pakej.
Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua membabitkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit