6 OGOS : Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) mensasarkan untuk melahirkan seramai 400 penerima faedah ‘future proof’ baharu melalui 180 program pembangunan dalam lima teras tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan YPPB yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, lima teras berkenaan ialah Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis.
“Sejak 10 tahun penubuhan, YPPB berjaya membangunkan hampir 50000 modal insan Bumiputera melalui lebih 370 program.
“YPPB turut memperkenalkan program khas iaitu Peneraju Profesional Training Initiative with Industry (PERTIwI) yang memberikan pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara kepada penerima faedah sedia ada.,” ujarnya menerusi catatan ringkas di Facebook miliknya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Dr. Mohd Muzzammil Ismail.
Beliau juga mengharapkan lebih ramai modal insan bumiputera akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada 50,000 penerima faedah melalui usaha berterusan itu.