11 OGOS : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan saranan kepada Jabatan Peguam Negara agar mengenakan pertuduhan terhadap beberapa individu berkait projek kapal tempur pesisir (LCS).
SPRM menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS.
Kata kenyataan itu, kertas siasatan tersebut telah pun dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.
“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri, berkata beberapa fail telah dibuka bagi tujuan siasatan berhubung projek LCS.
Jelas Ismail, beliau telah mengarahkan supaya siasatan itu dibuat segera kerana ia melibatkan wang rakyat.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS apabila tiada satu kapal pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut.
Susulan itu, Bersatu, pada semalam, menghantar memorandum ke Istana Negara bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu projek LCS.