13 OGOS : Kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023, yang akan dibentang Oktober ini.
“Setakat ini, sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak, hari ini.
Beliau berkata, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.
Ismail Sabri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, membabitkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan. – BERNAMA