13 OGOS : Tiga lagi suspek yang terbabit dalam kes serangan terhadap seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin berjaya ditahan pihak polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor menerusi satu kenyataan berkata sepasukan pegawai dan anggotanya membuat tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula jam 1 pagi hingga 8 pagi tadi.
Katanya dalam kenyataan itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kuala Nerus dan merampas beberapa barang kes, manakala serbuan kedua pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di tepi Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, jam 2 pagi tadi.
“Seorang lagi lelaki ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di FELDA Lepar Utara, Bandar Jengka dan turut merampas beberapa barang kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.Azli berkata, semakan dilakukan mendapati, dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil ujian saringan dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 30-an itu mendapati mereka positif dadah jenis heroin.
“Permohonan reman terhadap tiga suspek terbabit akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147/448 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan pencerobohan kawasan,” ujarnya.
Azli turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.
Pada masa, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau membuat sebarang spekulasi dalam kes itu.
Semalam, media melaporkan, seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan cedera serta badan lebam selepas diserang lima lelaki kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.
Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, seorang ustaz cedera diserang lima lelaki, yang dikatakan bertugas menjaga pusat terbabit.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.43 petang, yang dibuat oleh seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun, yang turut mengalami kecederaan di badan ketika bersama ustaz terbabit.
Susulan itu, polis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi semalam di kawasan Damak, Jerantut, Pahang dan menahan dua lelaki, manakala tiga lagi masih bebas.