15 OGOS : Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dipertimbang untuk diperluaskan di 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) , kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata cadangan itu diutarakan wakil pemimpin pelajar daripada IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk kolej latihan perguruan dalam satu sesi libat urus dengannya tengah hari tadi yang antara lain membangkitkan isu kos sara hidup yang perlu ditanggung pelajar di kampus.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat pasukan itu minggu hadapan bagi membolehkan pelajar turut menikmati kemudahan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia seperti yang diadakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.
“Saya jangka kampus akan dibuka semula pada pertengahan September dan Oktober. Jadi jawatankuasa akan mempunyai masa yang cukup untuk bincang kaedah dan mekanisme sekiranya jawatankuasa dapat memberi ‘endorsement’ atau persetujuan supaya konsep Jualan Murah Keluarga Malaysia dapat diperluaskan ke 20 kampus IPTA,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bermula pertengahan Ogos merupakan program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu. – BERNAMA