17 OGOS : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama agensi terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan PendaftaraPn Negara (JPN), Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah menjalankan Tindakan Khas Operasi Bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur pagi tadi.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, operasi bersepadu kali ini diketuai oleh beliau sendiri dan disertai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, di mana ia melibatkan kekuatan seramai 47 orang pegawai dan 344 orang anggota lain-lain pangkat melibatkan PDRM, JIM, DBKL, AADK dan RELA.
“Dalam operasi ini, tindakan penguatkuasaan tertumpu kawasan sekitar luar dan dalam Pasar Borong Kuala Lumpur melibatkan pemeriksaan premis perniagaan dan individu yang bekerja atau tinggal berdekatan dikalangan warga negara asing dan rakyat tempatan.
“Hasil pemeriksaan bersepadu bersama rakan strategik penguatkuasaan ini, sejumlah 400 individu telah diperiksa melibatkan 147 orang warga tempatan dan 253 orang dikalangan warga negara asing terutamanya dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Nepal dan warganegara India,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.
Tambahnya lagi, sejumlah 35 orang telah ditangkap untuk tindakan lanjut oleh pihak JIM dibawah kesalahan Akta Imigresen 1959/1963 dan polis menerusi pelbagai kesalahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala pihak DBKL pula menurut Jalaluddin telah membuat penutupan serta merta premis perniagaan yang melanggar syarat lesen termasuklah premis tiada lesen, membenarkan premis dikendalikan warga asing dan halangan ditempat awam di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“DBKL turut membuat 3 tindakan sita dan pindah halangan keatas pelbagai barangan dan peralatan premis yang membuat halangan ditempat awam dan menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen menerusi termasuk mengeluarkan tiga notis kompaun.
“Alhamdulillah, operasi bersepadu ini berjalan dengan lancar dengan kerjasama erat semua agensi sahabat yang terlibat,” ujarnya.
Katanya lagi, kerjasama dan tindakan penguatkuasaan bersama ini akan sentiasa diteruskan dari masa ke semasa.