22 OGOS : Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini memaklumkan bahawa akan memansuhkan undang-undang jenayah seks antara lelaki, memandangkan rakyat di negara itu semakin menerima golongan gay.
Katanya, kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan, sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.
Bagaimanapun, tegas Hsien Loong, Singapura tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan di negara terbabit iaitu antara lelaki dan wanita.
“Biarpun kami memansuhkan Seksyen 377A, kami akan menegakkan dan melindungi institusi perkahwinan.
“Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang diiktiraf di Singapura,” katanya.
“Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura,” katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura semalam.