24 OGOS : Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu, bangunan Dato Onn, WTC malam ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti berkenaan termasukPerdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.
Antara yang dilihat tiba di lobi Menara Dato Onn pada jam lapan malam ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Ahli Majlis Tertinggi parti, Tan Sri Noh Omar.
Mesyuarat malam ini difahamkan akan membincangkan perkembangan semasa, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Ahmad Zahid dalam hantaran melalui Facebook rasmi beliau menegaskan, UMNO akan bertindak rasional dan terus akur dengan kehendak keputusan parti.
“Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang Datuk Seri Najib, kita tetap bersama. Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti.
“Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat. Tiada pengkhianatan sesama kita. Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar,” katanya dalam hantaran itu.
Ahmad Zahid turut dijangka mengadakan satu Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu ini.