25 OGOS : Sebanyak 2,636 kes baharu COVID-19 dikesan semalam membabitkan 2,631 kes penularan tempatan dengan lima lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Data laman sesawang COVIDNOW merekodkan angka terbaharu itu menjadikan jumlah jangkitan di Malaysia meningkat kepada 4,765,188 kes sejak penularan itu berlaku lebih dua tahun lalu.
Sehingga kini, negara masih merekodkan 34,970 kes yang masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, daripada jumlah itu sebanyak 33,500 atau 95.8 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu sebanyak 1,379 pesakit COVID-19 bersamaan 3.9 peratus sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (24), unit rawatan rapi (ICU) (67) dengan 36 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Secara keseluruhannya, penggunaan wad ICU kini mencecah 63.9 peratus untuk pelbagai rawatan bagaimanapun, untuk pesakit COVID-19 sahaja penggunaan wad itu kini berada di paras 18 peratus.
Terdapat sejumlah 11 kes kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan semalam dengan lima daripadanya adalah kematian diluar fasiliti kesihatan (BID).
Empat daripada kes kematian itu dilaporkan di Johor, manakala tiga lagi di Selangor serta masing-masing satu kes di Kedah, Perak, Sarawak dan Sabah.
Kes kematian itu menjadikan jumlah terkini angka korban di negara ini meningkat kepada 36,177 kes dan daripada jumlah itu 7,689 kes adalah kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Dalam pada itu, bagi kes sembuh di negara ini, sebanyak 3,206 kes pulih direkodkan. Ia menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan pesakit COVID-19 pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,694,041 kes.