26 OGOS: Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.
Demikian rangkap pantun yang dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam kenyataan terkini beliau, hari ini berkait skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Mersing sekali lagi menegaskan wanita bernama Zainab binti Mohd Salleh bukan isterinya seperti yang didakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
“Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari Yang Maha Esa.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh. TIADA ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan Laut dan Pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi BUKAN ikan jerung,” katanya.
Sebelumnya Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.
Katanya, keluarga Abd Latiff terlibat dalam skandal projek LCS ketika menjadi Timbalan Menteri Pertahanan tempoh 2008 hingga 2013.
Menurut Rafizi sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Dr Abd Latiff.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, wanita yang juga isteri Dr Abd Latiff itu juga adalah pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited yang turut memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.
Namun Dr Abd Latiff menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan kesediaannya memberi kerjasama dalam membantu siasatan berkait perkara itu.
Pada 3 Ogos lalu, perolehan LCS yang menjadi kontroversi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satu kapal disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.