2 SEPT : Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memilih untuk memberi keterangan bersumpah bagi membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan isterinya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah setelah Hakim Rozina Ayob memberi tiga pilihan apabila mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.
Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan isteri diarah membela diri setelah mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan Zizie Izette.
Mereka berdua didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding amanah berkenaan, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.