2 SEPT : Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberi amaran identiti majikan yang disyaki menindas dan mendera pekerja termasuk pekerja asing akan didedahkan kepada umum, selain diambil tindakan mengikut undang-undang sewajarnya.
Beliau menyuarakan amaran itu menerusi satu kenyataan hari ini, selepas pihaknya dimaklumkan mengenai satu kes penindasan dan penderaan dilakukan sepasang suami isteri terhadap pembantu rumah mereka, baru-baru ini.
“Mangsa yang juga seorang warga Indonesia bukan sahaja tidak dibayar gaji, tetapi turut menjadi mangsa dera. Dia kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.
“Saya sudah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk menyiasat perkara ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja pada tahun 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.
“Majikan yang disyaki adalah pasangan suami isteri, S Vijiyan Rao dan K Rineshinu Naidu di Batu Caves, Selangor.Kes seperti ini adalah insiden yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan para majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka,” katanya.
Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan mahupun asing.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen buruh paksa.
“Mulai sekarang, KSM tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak diluar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan.
“Saya percaya dengan usaha ini, majikan akan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka,” katanya.