3 SEPT : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin AI-Mustafa Bilah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2022 lalu.
Istana Negara menerusi satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan setinggi penghargaan kepada rakyat yang telah datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar untuk menyertai dan secara berdisiplin menonton sambutan hari yang bersejarah itu, yang mana telah dilaporkan melebihi jangkaan 50,000 orang.
“Semangat perpaduan, kenegaraan (patriotisme) dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh rakyat di majis tersebut dan juga di majlis-majlis yang telah dianjurkan di seluruh negara adalah sangat membanggakan.
“Semoga semangat-semangat tersebut, yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara, memperkukuhkan lagi keharmonian negara,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat itu juga dipamer dan diteruskan dalam memperingati dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September 2022 kelak.
Al Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, kesemua peserta dan penganjur, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tan Sri Annuar Musa, atas kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah disempurnakan dengan rapi dan cemerlang.
“Beta amat kagum menyaksikan persembahan yang telah ditunjukkan oleh semua kontinjen agensi-agensi kerajaan dan murid-murid sekolah yang telah mengambil bahagian di majlis tersebut.
“Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh mereka khususnya murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum, adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi,” titah Baginda lagi.