5 SEPT : Tiga individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.
Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Turut dilantik ialah bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Abdul Razak Tready, dan Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa pelantikan itu adalah mengikut Subseksyen 5(1) (f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).
“Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun mulai 4 September 2022 hingga 3 September 2024.
“Ia bagi menggantikan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham, Datuk Stephen Chung Hian Guan serta Prof Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin yang telah tamat perkhidmatan mereka pada 3 September lalu,” katanya.
Suruhanjaya itu sekali gus merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan ketiga-tiga bekas anggota berkenaan.
Dalam pada itu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar pula dilantik semula sebagai anggota suruhanjaya terbabit bagi tempoh sama.