11 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, beliau belum berbincang dengan “top five” UMNO berhubung tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut Naib Presiden UMNO itu, selepas berbincang dengan pimpinan tertinggi parti, barulah beliau akan berbincang dengan MCA, MIC dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Seterusnya tegas Ismail Sabri, beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, perlu ada kelulusan Kabinet sebelum beliau menghadap Yang di Pertuan Agong untuk memohon perkenan membubarkan Parlmen.
“Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa merucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas, Bera, hari ini.
Top Five merujuk barisan pemimpin tertinggi UMNO membabitkan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga naib presiden, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.
Walaupun belum berbincang mengenai tarikh PRU15, Perdana Menteri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera
Ini termasuk dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.
Ismail Sabri turut memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat’ dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada Perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?.
“Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi Perdana Menteri, tak akan menang dua atau tiga ribu majoriti?
Mengenai kerusi DUN Triang yang dahulu ditandingi Gerakan tanpa pernah menang, Ismail Sabri meminta MCA yang diberikan kerusi itu kelak membuktikan boleh menang.
“Ini merupakan cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas DUN Triang yang semua orang bercakap akan kekal kepada DAP,” katanya.
Ismail Sabri juga percaya PRU15 adalah waktu terbaik untuk MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menunaikan janji selepas berpeluang memerintah selama 22 bulan, menjadikan rakyat sedar mereka telah tertipu.
Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada 68 persatuan dan kelab masyarakat Cina dan India dari sekitar Parlimen Bera.