12 SEPT : Kerajaan akan membincangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kementerian berkaitan dalam masa terdekat, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Kita bincang. Saya tak boleh jawab macam itu sahaja. Kita akan bincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih semasa pasca COVID-19.
Muhyiddin sebelum ini mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS memandangkan sektor itu belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).