14 SEPT : Penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, demikian tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut Hishammuddin, Kerajaan berpegang dengan apa yang telah diumumkan bulan lalu untuk menyerahkan kapal LCS tersebut kepada TLDM.
“Kita berpegang kepada apa yang diumumkan sebelum ini dan kami, saya bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Affendi Buang), Panglima TLDM, Kementerian Kewangan dan agensi lain berada ‘on the same page’.
“Kita mempunyai garis masa yang ditetapkan sejak dulu lagi dan kita mahu yakinkan kepada orang ramai bahawa projek LCS mesti diteruskan. Kita juga tidak melindungi sesiapa pun yang bersalah.
“Sekiranya kita dapati ada salah guna kuasa dan penyelewangan, biarlah ia ditentukan secara proses keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan KEMENTAH dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKMAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO), di sini hari ini.
Mengenai pertemuannya dengan wakil-wakil pengeluar peralatan tulen (OEM) projek LCS, Hishammuddin berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil pertemuan itu dalam masa terdekat.
“Saya juga sudah bertemu wakil kerajaan Perancis dan mahu menunjukkan kita sedang rancak menjalankan pelan mobilisasi dalam tempoh enam bulan ini,” katanya.
Terdahulu pada 8 Ogos lalu, beliau dilaporkan berkata, kapal pertama daripada enam LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada TLDM dengan libat urus bersama vendor, termasuk di Perancis serta membabitkan agensi perbankan.
Katanya lagi, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, MINDEF bersiap siaga dan sedia menggerakkan aset sekiranya berlaku bencana banjir di negara ini yang dijangka November depan.
Katanya, ATM serta MINDEF turut berada dalam jawatankuasa banjir yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dari segi persiapan menghadapi bencana itu, pihaknya tiada masalah dan sudah bersiap siaga.
“Seberapa ramai anggota ATM sedia turun dan aset juga bersiap sedia digerakkan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.