15 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa sedih atas pemergian mantan Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu pagi ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya, Ismail Sabri berkata banyak sumbangan yang ditaburkan mendiang kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.
“Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S. Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008. Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989-1995.
“Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara. Tun Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
“Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Jasa beliau akan terus dikenang, “ kata Perdana Menteri.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi kenyataann ringkas di Facebook miliknya turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga kepada Tun S. Samy Vellu yang telah meninggal dunia hari ini.
“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri kabinet akan terus dikenang,” katanya.
Selain itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Fadillah Yusoff pula menyifatkan pemergian Samy Vellu merupakan satu kehilangan besar buat negara.
“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat rakyat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Menteri Kabinet dan sebagai Presiden MIC akan terus dikenang. Takziah kepada keluarga Tun Dr S. Samy Vellu, mantan Menteri Kerja Raya,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Samy Vellu di atas pemergiannya pagi ini.
“Mendapat perkhabaran pemergian Tun Dr. S. Samy Vellu yang meninggal dunia pagi tadi, Malaysia kehilangan satu figura, tokoh dan pemimpin yang dikagumi ramai.
“Jasa dan sumbangan mendiang, yang merupakan antara pemimpin paling lama berkhidmat sebagai menteri kabinet selain menerajui MIC selama 31 tahun pastinya akan sentiasa dikenang.
“Saya secara peribadi mengagumi dedikasi mendiang yang tidak kenal penat lelah serta penuh keazaman dalam sama-sama berusaha untuk membangunkan negara pada masa sama memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Semoga seluruh ahli keluarga mendiang Tun Dr. S. Samy Vellu tabah dalam menghadapi detik kehilangan insan tersayang.