19 SEPT : Penyakit demam babi Afrika atau ‘African swine fever’ (ASF) dikesan menjangkiti dua ladang ternakan komersial di daerah Kerian, Perak.
Perkara itu disahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bagaimanapun setakat ini, penularan wabak adalah terkawal dengan jangkitan hanya berlaku di daerah berkenaan.
JPVmenerusi satu kenyataan hari ini berkata, pengesanan itu dibuat melalui ujian tindak balas rantaian polimer (PCR) yang dijalankan Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh pada Sabtu dan Ahad lalu, dengan pemindahan keluar babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan dari zon pemantauan dikawal dengan ketat.
Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu turut melaksanakan beberapa tindakan kawalan dan pencegahan, termasuk menyita ladang yang dijangkiti, selain menahan daripada sebarang pergerakan keluar masuk babi dan kenderaan.
JPV turut melakukan pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial di kawasan terjangkit dan pada masa sama, survelan lapangan akan dipergiat dari semasa ke semasa, termasuk siasatan serta persampelan pada babi komersial di ladang dan rumah sembelih di Perak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, bilik gerakan di JPV Perak dan pejabat veterinar daerah Kerian turut diaktifkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kerian.
Selain itu, JPV turut memperketat syarat pindah babi dan produk babi dari Perak ke seluruh Semenanjung.
Jelasnya, penyakit berkenaan tidak berjangkit pada manusia, justeru orang ramai dinasihatkan tidak panik berhubung laporan berkaitan kes seumpamanya.
“Semua ladang babi komersial mesti memperkukuh amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing bagi mencegah kemasukan penyakit ASF termasuk pagar perimeter mesti lengkap dan mengelak pencerobohan orang dan haiwan liar, termasuk babi hutan.
“Penternak dan pekerja ladang babi juga dinasihatkan tidak melawat ladang babi lain bagi mengurangkan risiko jangkitan ASF,” katanya.
Dalam pada itu, JPV menyeru orang ramai tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi.