20 SEPT : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menaiki bas bersama Baginda Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri serta ketua-ketua negara asing bagi berangkat menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth II di London, United Kingdom, semalam.
Dalam satu kenyataan Istana Negara melalui Facebook rasminya hari ini,Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menaiki bas bersama Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri serta ketua-ketua negara asing untuk berangkat menghadiri Majlis Resepsi Baginda Raja United Kingdom, Raja Charles III, dan Istiadat Penghormatan Terakhir mendiang Ratu Elizabeth II di London pada 18 September 2022 lalu.
Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri negara asing yang berangkat menaiki bas untuk ulang-alik semasa majlis dan istiadat-istiadat tersebut termasuk Baginda-Baginda Raja Philippe dan Permaisuri Mathilde (Belgium); Raja Felipe dan Permaisuri Letizia (Sepanyol); Raja Carl XVI Gustaf dan Permaisuri Silvia (Sweden), Raja Abdullah dan Permaisuri Rania (Jordan) serta Raja Belanda Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima, kata kenyataan itu.
Baginda Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito, dan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah juga berkenan menaiki bas istimewa yang telah disediakan oleh kerajaan United Kingdom bagi memudah dan melancarkan pergerakan ke majlis dan istiadat-istiadat tersebut.