24 SEPT : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya di negeri yang berisiko berdepan banjir membabitkan usaha mengatur gerak anggota dan aset milik ATM.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata, di Kelantan misalnya Markas 8 Briged telah bersedia peralatan dan anggota jika berlaku bencana banjir.
“Kita dah bersedia sebab setiap tahun bencana banjir ini berlaku,” katanya selepas Majlis Bekwoh Kampung Ahli Parlimen Tanah Merah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peralla, Gual Ipoh, di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.
MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.