26 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan duta kecil negara.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Keluarga Malaysia, terutama di New York, Amerika Syarikat dapat memaparkan imej positif negara kepada rakyat negara luar.
“Sementara saya di New York, sudah pasti saya teruja dapat meluangkan masa bersama Keluarga Malaysia di sini.
“Mereka adalah ‘Duta Kecil’ negara. Saya harap, Keluarga Malaysia di sini terus memanfaatkan keluarga dan masyarakat di Malaysia dengan memaparkan imej positif, dan bukanlah seperti ‘Bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang’,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.
Katanya lagi, konsep Keluarga Malaysia bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi merupakan semangat yang diterapkan Kerajaan dalam pentadbiran negara.
Perdana Menteri sebelum itu mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat dari 22 September hingga semalam.