28 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed Salman di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Arab Saudi hari ini.
Menerusi ciapan di Twitter rasmi miliknya, Ismail Sabri berharap dengan pelantikan itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi yang sudah terjalin sejak sekian lama.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.
“Malaysia berharap akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala di bawah pimpinan Yang Amat Mulia khususnya dalam meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi,” ujarnya.
Mohammed sebelum ini merupakan Timbalan Perdana Menteri telah dinamakan sebagai Perdana Menteri negara itu yang baharu, sebahagian daripada rombakan kabinet, yang telah diperkenan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada hari ini.