6 OKT : Beberapa jalan raya di sekitar pekan Little India, di Kuala Lumpur akan ditutup bermula 7.30 pagi sempena progam sambutan Hari Sukan Negara peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor dalam satu kenyataan hari ini meminta kepada semua pengguna jalan raya khasnya pengguna di sekitar pekan Little India untuk merancang semula perjalanan mereka.
“Antara jalan raya yang ditutup sepanjang program itu berlangsung ialah Jalan Tun Sambathan dan lorong-lorong masuk ke Jalan Tun Sambathan.
“Ia adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau tersangkut dalam kesesakan jalan raya berikutan penutupan jalan sepanjang program berlangsung,” katanya.
Amihizam menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi segala arahan pihak polis bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang program berlangsung.