Lebih 500 mayat orang awam ditemui di Wilayah Timur Laut Ukraine
8 OKT : Lebih 500 mayat orang awam dilaporkan ditemukan di wilayah timur laut Ukraine berikutan ketegangan Rusia-Ukraine, baru-baru ini.
CNNmelaporkan, lebih banyak tapak tanah perkuburan yang menempatkan mayat orang awam yang maut akibat konflik itu turut ditemukan di wilayah Donetsk.
Ketua Jabatan Siasatan Polis Kharkiv, Serhii Bolnivov memaklumkan di wilayah itu sahaja, sebanyak 534 mayat ditemukan meskipun tidak ramai penduduk menetap di lokasi berkenaan
“Mayat termasuk 226 orang wanita dan 19 orang kanak-kanak ditemui di situ,” tambah Bolnivov.
Dalam pada itu, sebuah lokasi di bandar Izium turut ditemukan ratusan mayat di satu ‘tapak pengebumian terbesar’ dimana tentera Rusia menggunakan bandar itu sebagai lokasi melancarkan serangan ke arah wilayah Donetsk.
Dakwa Bolnivov, lebih dua puluh lokasi disyaki menjadi “ruang penyeksaan” tentera Rusia ditemukan di rantau itu.
“Di hampir semua bandar besar dan kecil dimana unit tentera Rusia berpangkalan, mereka mewujudkan ruang tahanan orang awam dan tawanan perang untuk menyeksa mereka.
“Kami menemui bilik tahanan seksaan ke-22 di wilayah Kharkiv yang jarang diduduki orang awam,” kata Bolvinov.
Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah mendapati bahawa tindakan ganas oleh tentera Rusia di Ukraine disifatkan sebagai jenayah tidak berperikemanusiaan.