13 OKT : Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengurangan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), yang akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 20 Okt ini.
Manakala pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023.
Ujarnya, kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah beliau maklumkan , mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
“Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.
“Pengguna lebuh raya pula bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini hari ini.
Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.
Kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) juga menurutnya akan dilaksanakan susulan kejadian banjir yang sering kali berlaku di lebuh raya itu.
Mengulas mengenai pembukaan lebuh raya bertingkat DASH, Perdana Menteri berkata kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta antara pihak PROLINTAS dan kerajaan.
Sempena pelancaran lebuh raya itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penggunaannya secara percuma atau tanpa dikenakan bayaran tol bagi tempoh selama sebulan bermula pada 12.01 tengah malam 14 Okt.
Lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana ke Penchala itu (55.4 km panjang keseluruhan termasuk susur persimpangan) dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.
Ismail Sabri menjelaskan, pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya.
“Projek Lebuhraya DASH ini merupakan satu daripada 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju.
“Lebuhraya DASH juga menjadi laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan,” kata beliau.
Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.
Lebuh raya yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 Sept lepas itu mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.
Tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa selama satu jam 30 minit.
Selain itu, pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 serta memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.